3.Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November
2001) adalah seorang
Sasterawan Negara Malaysia yang
dikurniakan gelaran tersebut pada tahun 1983. Terkenal dengan
nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli
drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi
Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A.,
Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah
Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan,
beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika
itu berusia 72 tahun.
Kehidupan awal dan kerjaya
Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala
Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi
nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama
Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang
nelayan yang mencari& menjual rotan pada waktu musim tengkujuh.Usman
melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau
hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.
Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang
hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak
membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun
dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936),
Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada
tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak
lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura.
Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah
menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas
beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.
Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris
kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor
Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun
1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca
pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi
pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang
pengarang.
Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran
bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat
menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan,
Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan
memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa
pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.
Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan
Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang
di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan
pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi
pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan
Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik
Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan
Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada
bulan Julai 1985.
Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya
ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991,
beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan
oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam
proses pembentukan satu bangsa Malaysia.
Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai
Penasihat Sastera Maybank
mulai 1991 hingga 2001.
No comments:
Post a Comment