Thursday, July 7, 2011

Gaya Hidup Sihat

1.0 Pengenalan
Taraf dan kualiti kehidupan di negara ini ditakrifkan merangkumi gaya hidup yang sihat kemajuan diri, akses dan kebebasan memperolehi pengetahuan. Taraf kehidupan yang melebihi keperluan asas individu dan memenuhi keperluan psikologi untuk mencapai tahap kesejahteraan sosial yang standing dengan aspirasi negara.Masyarakat yang mempunyai gaya hidup yang sihat dikatakan mempunyai kualiti hidup yang tinggi. Namun masyarakat yang mempunyai kualiti yang tinggi tidak semestinya mempunyai gaya hidup sihat.
Gaya hidup sihat ditakrifkan sebagai satu proses amalan kesihatan ke arah perubahan hidup yang memuaskan yang meliputi pelbagai aspek termasuklah, penjagaan pemakanan yang seimbang, bersenam, mengawal tekanan atau stress dan yang paling penting adalah menghindar diri daripada aktiviti-aktiviti yang negetif dan berisiko.
Menurut kajian Lyons R dan Langgille I (2001) konsep gaya hidup yang sihat dikategorikan sebagai satu kehidupan yang seimbang, buat satu pilihan dengan bijak dan satu amalan untuk mengurangkan masalah kesihatan, pemulihan, mengurangkan tekanan hidup dan meningkatkan mutu kehidupan
Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO, 1946) pula mentakrifkan perkataan sihat sebagai “suatu keadaan sempurna daripada segi fizikal, mental dan social dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit. Kesihatan juga membawa erti kemampuan untuk meneruskan hidup dengan prospek positif.
Kombinasi keselamatan makanan, pemakanan dan aktiviti fizikal yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seharusnya diamalkan oleh seluruh rakyat di dunia bukan hanya para atlet sahaja. Ini sejajar dengan kempen yang dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 September 2006 iaitu beliau telah melancarkan Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) sebagai antara usaha membudayakan gaya hidup sihat di kalangan penduduk Malaysia.

Menurut beliau, “ Tidak guna negara mempunyai rakyat yang cerdik dan pintar, tetapi berpenyakit dan tidak sihat akibat kurang cergas ”. Oleh itu, menjaga kesihatan dan
semua perkara berkaitan dengannya perlu dijadikan satu tanggungjawab kepada diri masing-masing sebagai satu budaya untuk mengekalkan kesihatan.

Konsep “The 3 Fives” oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah satu produk yang unik, dan pada asalnya dicipta untuk kegunaan acara sukan besar-besaran.kombinasi keselamatan makanan, pemakanan dan aktiviti fizikal ini bukan sahaja mempunyai hubungan yang khas dengan para atlit, namun boleh diamalkan oleh rakyat seluruh dunia. Risalah disediakan bagi menekankan peranan aktiviti makanan dan fizikal untuk gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran awam.
Konsep yang dilancarkan semperna Sukan Olimpik Beijing, China juga turut diamalkan semperna Piala Dunia 2010, sebagai kempen mempromosikan peranan makanan yang bersih dan sihat serta aktiviti fizikal terhadap gaya hidup sihat. Kesedaran berdasarkan kepada tiga kategori, iaitu makanan yang lebih selamat, pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang sesuai. Untuk setiap satu daripada tiga kategori, lima elemen penting diterangkan.
2.0 Ulasan “Five Keys To Safer Food”
Lima kunci makanan selamat;
2.1 Basuh dan lap semua bahan dan peralatan penyediaan makanan.
Tempat dan bahan makanan perlu sentiasa terjamin tahap kesihatannya.Makanan mentah perlu dibersihkan dengan air bersih sebelum dimasak. Penggunaan air bersih yang mencukupi penting dalam menjamin kebersihan dan keselamatan makanan. Penyedia makanan juga perlu sentiasa membasuhkan tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas.
Kita juga perlu melindungi dapur kita daripada serangga seperti semut, lipas, lalat, tikus dan sebagainya. Kita mestilah mengelakkan dapur dan peralatan memasak daripada serangga ini kerana serangga adalah pembawa kuman dan penyakit yang amat berbahaya jika kita tidak menjaganya.
2.2 Asingkan makanan mentah dan makanan kering.
Penyimpanan makanan dengan cara yang betul akan memastikan makanan
selamat untuk dimakan. Langkah ini dapat mengurangkan kerosakkan pencemaran dan pembaziran makanan.Makanan kering dan makanan basah memerlukan cara penyimpanan tersendiri dan tidak boleh dicampurkan.

Makanan mentah kering seperti beras dan tepung hendaklah disimpan di dalam
bekas dan tempat yang kering.Ruang yang lembab akan menggalakkan pertumbuhan kulat.Makanan mentah basah seperti ayam, daging dan hasil laut mengandungi banyak bakteria.Makanan mentah ini perlu diasingkan daripada makanan lain yang telah dimasak atau makanan mentah yang sedia untuk dimakan seperti buah-buahan dan ulaman.Titisan daripada makanan mentah ini boleh memindahkan bakteria melalui proses pencemaran silang.

2.3 Pastikan makan dimasak dengan teliti dan sempurna.
Penyediaan makanan yang sihat merupakan salah satu langkah yang dapat
mengurangkan kes keracunan makanan.Langkah penyediaan makan hendaklah mematuhi peraturan supaya tidak berlaku pencemaran.Contohnya, tidak menggunakan papan pemotong yang sama untuk makanan mentah dan makanan yang telah dimasak.
Makanan perlu dimasak dengan betul dan sempurna bagi mengelakkan pembiakan bakteria dalam makanan dan merosakkan mutu makanan serta menyebabkan makanan menjadi cepat rosak serta basi. Contohnya ayam atau daging perlu dimasak sehingga isi tidak berwarna kemerah-merahan. Jika perlu, ukur tahap kemasakkan dengan termometer.Pastikan makanan yang dimasak seperti sup dimasak dengan betul-betul masak sehingga mencapai suhu 70 darjah celcius. Pastikan jangan memasak makanan terlalu lama kerana ia akan menghasilkan toksid.

2.4 Simpan makanan pada suhu yang sesuai.
Penyimpanan makanan dalam peti sejuk perlu mengikuti panduan berikut seperti yang disarankan oleh Kementerian Makanan melalui Modul Kempen Cara Hidup Sihat 2001.Antaranya menjarakkan bekas-bekas dalam peti sejuk supaya peredaran udara sejuk lebih sempurna. Amalkan prinsip “mula masak, mula keluar” untuk memastikan makanan yang disimpan dahulu mengikut giliran. Daging,ikan,susu,hasil tenusu,krim dan lauk pauk perlu ditutup dan disimpan pada bahagian yang paling sejuk. pencemaran silang.
Bahan makanan kering di simpan tempat yang kering dan ada sebahagian makanan perlu disimpan dalam bekas kedap udara. Jangan simpan atau letak makanan yang bermasak dalam bilik bersuhu lebih daripada 2 jam. Simpan dalam peti sejuk dengan suhu 5 darjah celcius. Jangan simpan makanan terlalu lama di dalam peti sejuk.
2.5 Gunakan air yang selamat dan mineral mentah.
Air yang bersih penting dalam kehidupan seharian. Pengunaan air yang tidak bersih boleh menyebabkan keracunan makanan. Basuh sayur-sayuran dan buah-buahan dengan bersih jika makanan tersebut dimakan mentah. Jangan makan makanan yang telah tamat tarikh luputnya.
Agensi Standard Makanan Britain (FSA) memberitahu, pengguna mesti membasuh dahulu buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakannya. Agensi itu berkata: “Ia satu tindakan yang bagus untuk membasuh dahulu sayur dan buah yang anda ingin makan bagi memastikan ia bersih daripada kuman.“Membuang kulit atau memasaknya juga boleh menyingkirkan bakteria.” Namun, pakar Scotland berkata penyelidikan baharu mendapati membasuh sahaja tidak mencukupi kerana bakteria itu sudah masuk ke dalam makanan mentah terbabit.
Dr. Nicola Holden dari Institut James Hutton, Scotland berkata, bakteria yang berasal daripada haiwan itu boleh melekat pada tanaman menerusi parit atau semburan air. Kadangkala ia tercemar semasa proses membungkus dan menghantar produk berkenaan. Holden berkata, bakteria itu boleh berkumpul pada akar pokok sebelum naik ke daun dan buahnya.
3.0 Ulasan “Five Keys To A Healthy Diet”
Penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni. Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang bagi menjamin kesihatan yang berterusan dan berpanjangan. Apa yang disarankan oleh (WHO) melalui brosurnya tentang penjagaan pemakanan adalah penting kepada semua individu untuk mengamalkannya bukannya semata-mata kepada para atlet sahaja.
3.1 Beri susu ibu kepada bayi pada enam bulan pertama.
Bayi memerlukan nutrien yang terbaik untuk perkembangan dan pembesaran dengan sihat. Mazni Othman (2007) dalam kajiannya berpendapat,susu ibu merupakan nutrien yang terbaik untuk bayi. Menurutnya susu ibu bersih,seimbang dan paling sesuai untuk bayi.Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang diperlukan oleh setiap bayi.Antibodi yang terdapat dalam susu ibu melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit,radang paru-paru dan selsema. Susu awal ibu yang dihasilkan dalam beberapa hari setelah melahirkan bayi mengandungi kolostrum.Kolostrum tinggi dalam karbohidrat, protein,antibodi dan kurang lemak.
Banyak faedahnya jika penyusuan ibu dilakukan sehingga bayi membesar.Antaranya mencegah penyakit seperti lelah dan sakit perut.mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembang otak.Mengurangkan risiko pencemaran yang mungkin berlaku dalam penyusuan berfomula.mudah diperolehi dan bila-bila masa dan sentiasa dalam keadaan suhu yang sesuai. Selain itu penyusuan dapat merapatkan hubungan mesra antara ibu dan bayi tersebut.serta memberi keselesaan dan ketenangan emosi kepada bayi.

3.2 Makan pelbagai jenis makanan.
Secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum. Ibu bapa sepatutnya mendidik dan melatih anak mereka supaya mengamalkan diet seimbang, dengan mengambil semua jenis makanan yang membekalkan karbohidrat, protein, fiber atau serat dan kalsium yang terdapat dalam nasi dan bijirin,daging,ayam, ikan,sayur-sayuran serta buah-buahan.

3.3 Makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
Kita perlu makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kita disarankan makan buah-buahan dan sayur-sayuran sekurang-kurangnya 400 gram sehari seperti yang terkandung dalam brosur (WHO). Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding dengan makan makanan yang berlemak dan mengandungi banyak gula. Jangan masak terlalu lama makanan sehingga menyebabkan hilang vitamin.
3.4 Makan makanan seimbang
Amalan pemakanan sihat dalam sesebuah keluarga memerlukan perancangan,penyediaan dan penyajian makanan yang seimbang untuk keluarga.Makanan yang sihat tidak semestinya mahal.Misalnya buah-buahan yang berzat tidak semestinya buah-buahan import seperti epal atau anggur tetapi buah-buahan seperti jambu batu, pisang dan betik.
Jika kanak-kanak kurang selera untuk makan, pastikan mereka minum segelas susu rendah lemak untuk mengalas perut sebelum ke sekolah. Susu rendah lemak perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak apabila mereka berusia lima tahun.Apabila anak anda sudah mencapai usia lima tahun, sebaik-baiknya, perkenalkan kepada mereka makanan dan minuman rendah lemak sebagai satu daripada langkah mencegah kegemukan. Saranan ini telah dikemukan oleh Perunding Permakanan Mont Kiara Medical City , Farah Diba Khan.
3.5 Kurangkan makanan bergula dan garam.
Dewasa ini makanan segera menjadi pilihan ramai masyarakat masa kini.Makanan segera biadanya tidak mengandungi serat manakala kandungan gula dan garam yang tinggi.Penggunaan garam dan gula berlebihan boleh mengundang penyakit seperti darah tinggi kencing manis dn obesiti.
Perunding Permakanan Mont Kiara Medical City di Kuala Lumpur City Centre, Farah Diba Khan, berkata pengambilan makanan segera perlu dihadkan seminggu sekali kerana ia tidak membekalkan diet seimbang. Beliau berkata, makanan segera banyak mengandungi lemak dan diet seumpama itu tidak berkhasiat kepada kanak-kanak yang sedang membesar kerana dikhuatiri mereka akan mengalami masalah kegemukan pada kemudian hari.

4.0. “Five Keys To Appropriate Physical Activity”
Gaya hidup yang sihat memerlukan kita menjaga keseimbangan antara rohani dan jasmani bagi mengelakkan pelbagai serangan penyakit moden kini dan seterusnya kita boleh meneruskan kehidupan ini dengan kekal sihat dan teratur. Oleh itu, penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni. Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal seperti senaman. Kita juga perlu menjauhkan diri daripada tabiat merokok yang boleh merosakkan kesihatan. Kesihatan jasmani yang baik juga akan memberi kesan kepada kesihatan rohani yang mantap.
4.1 Lakukan aktiviti yang sihat bersama keluarga
Adalah disarankan supaya mengaktifkan pergualan dengan keluarga. Kepada ibu bapa luangkan masa memberi perhatian kepada anak supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat. Ajaklah mereka berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup dengan solat secara berjemaah, makan dan beriadah seperti berjoging, mendaki gunung, berkayak dan sebagainya.Kurangkan menonton televisyen dan bermain komputer.

4.2 Lakukan aktiviti fizikal secara aktif
Mengikut kajian, hanya 24 peratus kanak-kanak terbabit dalam kegiatan fizikal seperti berbasikal, bermain badminton dan berlari. Bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah 76 peratus daripada mereka lebih menumpukan perhatian terhadap kegiatan yang tidak memerlukan pengeluaran peluh seperti menonton televisyen. Aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, mendaki gunung, berkayak, berbasikal, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga tidak mengira peringkat umur, jantina mahu pun taraf kedudukan.

Bagi individu yang menggunakan tangga dan lif sebaik-baiknya gunakan tangga untuk menjaga kesihatan dan membuat senaman.Untuk mereka yang bekerja sebaik-baiknya pergi berjalan semasa hendak pergi makan tengah hari atau minum petang. Buat kerja rumah seperti mengelap tingkap dan menyapu lantai. Buat kerja perkebunan seperti menyiram pokok dan membersihkan halaman kebun atau rumah.

4.3 Lakukan senaman 30 minit sehari
Senaman merupakan aktiviti penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu. Namun ramai yang mengabaikan aktiviti ini dengan alas kekangan masa. Dr.Mohd Ismail berkata, garis panduan yang ada sekarang menyarankan kita melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari tetapi bagi individu obes, mereka perlu bersenam selama 45 minit sehari. Untuk mengelakkan pertambahan berat badan, ramai pakar mencadangkan supaya supaya bersenam antara 60 hingga 90 minit sehari.
Paling penting, untuk menghalang peralihan daripada berat badan berlebihan ke obes, kumpulan berkenaan disaran bersenam antara 45 hingga 60 minit sehari. Ibu bapa boleh mengawal masa menonton televisyen dan menjadikan senaman sebagai aktiviti harian keluarga. Tanpa kawalan dan penjagaan rapi, kanak-kanak obes mempunyai kecenderungan tinggi menjadi individu dewasa yang obes. Rasanya semua orang tahu kesan obes terhadap kesihatan, tetapi tidak salah untuk diulang semula sebagai ingatan.
Masalah obesiti boleh meningkatkan risiko mendapat kencing manis, penyakit pundi kencing, tekanan darah tinggi, apnea (berdengkur dan pernafasan terhenti ketika tidur), osteoartritis, sakit jantung, gout, kanser, ketidakseimbangan hormon dan kesuburan terjejas.Seperkara yang perlu diingat, walaupun kebanyakan penyakit di atas berlaku pada golongan dewasa, tetapi tanpa penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan yang baik, tidak mustahil ia juga boleh menyerang golongan lebih muda.
4.4 Penglibatan remaja dalam bidang sukan di luar atau di sekolah.
Golongan remaja perlu melibatkan diri di dalam setiap aktiviti atau program yang dianjurkan oleh peringkat sekolah mahupun universiti yang melibatkan aktiviti sukan. Setiap remaja sepatutnya perlu bijak mencari masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang digemari yang boleh meningkatkan tahap kesihatan diri seperti aktiviti berkayak, futsal, rock climbing dan sebagainya. Remaja perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang berfeadah supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfeadah yang merosakkan gaya hidup sihat mereka.
Menurut Dr Rajbans Singh, Pakar Kesihatan Pusat Perubatan Pantai, penjagaan kesihatan perlu diutamakan sejak usia muda dan remaja kerana kesihatan merosot disebabkan beberapa perkara. Antaranya, gaya hidup, tabiat pemakanan dan tidak bersenam. Pelbagai penyakit timbul kerana masyarakat kini kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Kesuntukan masa untuk bersukan serta amalan pemakanan yang tidak seimbang mengundang pelbagai penyakit.
Menurut pakar kesihatan, aktiviti riadah seperti berjogging sebenarnya cara yang terbaik, mudah dan murah untuk kita mengekalkan berat badan yang sesuai dengan umur kita, di samping mengelakkan diri daripada terkena penyakit serius seperti kencing manis, darah tinggi, serangan sakit jantung dan juga angin ahmar.
5.0. Rumusan
Dunia akan ke arah penjagaan kesihatan yang lebih dan lebih pencegahan, di mana perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat . Membudayakan gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Justeru, kesihatan menjadi harta amat bernilai dalam kehidupan seseorang. Ini bertepatan dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui brosurnya iaitu Konsep “The 3 Fives”.
Kombinasi keselamatan makanan, pemakanan dan aktiviti fizikal ini bukan sahaja mempunyai hubungan dengan para atlet, namun ia seharusnya atau diwajibkan untuk diamalkan oleh seluruh rakyat di seluruh dunia untuk menjamin kesihatan yang terbaik dan berterusan untuk jangka hayat yang lebih panjang. Konsep “The 3 Fives”, ini sepatutnya diamalkan oleh setiap individu, agensi kerajaan, swasta dan Negara. Ini amat penting untuk melahirkan Negara yang sihat, maju, harmoni dan aman. Konsep “The 3 Fives” ini bukanlah hanya untuk para atlet semata-mata, tetapi adalah untuk seluruh rakyat di dunia ini.

No comments:

Post a Comment